Saturday, July 25, 2009

BENIH BAIK & BENIH BURUK

BENIH BAIK & BENIH BURUK

Di dalam stuktur kehidupan manusia ini , ada orang bawahan dan ada
orang atasan. Orang atasan pula, ada lagi orang yang di atasnya.
Jadi, setiap manusia itu ada pemimpinnya.

Pemimpin itu berbagai-bagai peringkat dan mengikut kelompok-
kelompok manusia yang tertentu. Murid dipimpin oleh guru. Anak
dipimpin oleh bapa. Pekerja dipimpin oleh pengurus, rakyat dipimpin
oleh ketua Negara dan begitulah seterusnya.

Namun, walaupun semua manusia itu ada yang memimpinnya, tapi kita
lihat manusia itu macam tidak terpimpin. Akhlak rosak. Moral jatuh.
Selalu sahaja terlibat dengan salah laku dan maksiat. Walhal, kita
yakin dan kita tahu, tidak ada pemimpin yang menyuruh mereka berbuat
maksiat dan melanggar undang-undang.

Tidak ada pemimpin yang sengaja mengajar dan menyuruh anak-anak
buah mereka berjudi, minum arak, mencuri, merompak, berzina dan
sebagainya. Tidak ada ayah yang mengajar anak-anaknya membuat jahat.
Tidak ada guru yang mengajar anak-anak muridnya membuat maksiat.
Tidak ada ketua Negara yang menyuruh rakyatnya membuat huru-hara dan
melanggar undang-undang. Kebanyakan pemimpin melarang anak-anak buah
mereka berbuat jahat. Malahan ada yang menghukum anak-anak buah yang
membuat salah laku.

Mengapa dan kenapa manusia masih cenderung dalam melibatkan diri
dengan maksiat dan salahlaku, kalau ianya tidak diajar dan tidak
disuruh oleh pemimpin mereka?

Sebenarnya ini bukan masalah diajar atau tidak diajar atau masalah
disuruh atau tidak disuruh. Ia berkait dengan benih yang ditanam
oleh pemimpin di hati anak-anak buah. Bila benih yang ditanam oleh
pemimpin itu baik, maka anak-anak buahn ya akan jadi baik. Apabila
benih yang ditanam itu jahat maka anak-anak buah akan jadi jahat.

Tambahan pada itu, bila benih yang ditanam itu tumbuh dan
disuburkan pula oleh persekitaran yang tidak baik dan pengaruh-
pengaruh yang negative seperti pergaulan bebas, salah guna dadah,
program TV, VCD lucah , komik, majalah lucah, pop, rock metal dan
sebagainya, maka ia akan cenderung ke arah jahat dan akhirnya akan
jadi jahat.

Apakah dia benih jahat itu? Benih jahat ialah sifat cinta dunia
(hubbud dunya) yang ditanam di hati anak-anak buah. Sifat cinta
dunia yang ditanam di hati anak buah ini akan menjadikan anak buah
ahli-ahli dunia dan akhirnya hamba dunia. Sifat cinta dunia ini
ialah ibu segala maksiat. Orang yang terus ditanam dengan benih
cinta dunia ini di hatinya, dia tidak ada cita-cita lain selain
merebut dan mendapatkan dunia.

Benih yang baik pula ialah rasa cinta dan takut kepada Allah dan
cintakan Akhirat. Orang yang hatinya telah diisi dengan rasa cinta
dan takut kepada Allah ini akan sentiasa akan terdorong untuk
berbakti dan membuat kebaikan. Mereka tidak akan merebut-rebut dunia
ini. Mereka lebih cenderung untuk membuat kebaikan dan kebajikan
demi kebahagiaan mereka di Akhirat.

Oleh itu, para pemimpin tidak perlu banyak menyuruh dan melarang
walaupun ini tidak salah. Apa yang perlu ialah berusaha menanam
benih-benih yang baik di hati-hati anak buah. Bawa mereka kepada
Tuhan. Kenalkan mereka kepada Tuhan. Tanamkan rasa cinta dan takut
kepada Allah di hati-hati mereka untuk mencintai Akhirat. Ajar
mereka supaya menganggap dunia ini perkara remeh yang tidak
mempunyai nilai apa-apa. Ajar mereka supaya tidak merebut dunia
tetapi menggunakan dunia ini untuk mendapatkan Akhirat.

Di samping itu pelihara persekitaran daripada pengaruh jahat dan
negative yang boleh merosakkan. Daripada budaya kuning dan hiburan
sumbang. Daripada kegiatan yang merosak dan melalaikan. Ini
sebenarnya tugas pemimpin dalam mendidik anak buah. Ini
tanggungjawab orang atasan terhadap orang bawahan. Ini tugas bapa
terhadap anak. Ini tugas guru terhadap murid. Ini tugas pengurus
terhadap pekerja. Ini tugas ketua Negara terhadap rakyat jelata.

Kalau benih-beniih baik ini dapat ditanam di dalam hati orang-orang
bawahan, maka kerja memelihara dan mendidik mereka akan jadi mudah.
Tidak perlu banyak suruh-suruh. Tidak perlu banyak larangan. Benih
yang baik akan cenderung untuk menuju kebaikan.

asz.....

No comments: